KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan terdapat ralat berkaitan identiti seorang mangsa yang meninggal dunia akibat kemalangan membabitkan sebuah bas terbabas di Kilometer 51.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata berdasarkan maklumat dan siasatan lanjut, polis mendapati wanita sebenar yang maut ialah Lim Hwee Fong, dan bukannya individu berdasarkan kad pengenalan yang ditemukan dalam bas, seperti dilaporkan semalam.

Beliau berkata setelah semakan dibuat pada 10.30 malam semalam (29 Mac) terhadap kad pengenalan yang dijumpai di dalam bas itu, didapati pemilik kad pengenalan itu adalah individu yang berlainan dan pernah membuat laporan polis tentang kehilangan kad pengenalannya di Kuantan pada Julai 2023.

"Ahli keluarga mangsa sebenar yang meninggal dunia dalam kejadian itu telah terlihat video kemalangan dalam media sosial dan terus menghubungi pihak hospital bertanya tentang kejadian serta keadaan mangsa yang terlibat.

"Ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia seterusnya hadir ke Hospital Bentong membuat pengesahan dan pengecaman, hasil daripada proses itu, identiti sebenar mangsa yang meninggal dunia ialah Lim Hwee Fong, seorang wanita warga tempatan berusia 54 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah lelaki warga asing dikenali sebagai Htay Min Aung, 28.

Dalam pada itu, Zaiham berkata hasil semakan mendapati pemandu bas terbabit memiliki 15 rekod saman lampau dengan masing-masing enam saman pandu laju dan saman kemalangan manakala tiga saman lain-lain kesalahan.

"Semakan terhadap nombor pendaftaran bas pula mendapati ada tujuh saman pandu laju dan satu saman kemalangan.

"Polis akan mendapatkan keputusan toksikologi sampel darah terhadap pemandu bas setelah menghantar sampel ke Jabatan Kimia pada Isnin dan akan membuat pemeriksaan Puspakom terhadap bas itu pada 2 April (Selasa)," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan maut manakala 13 lagi cedera selepas bas persiaran yang membawa 20 penumpang termasuk pemandu terbabas ketika dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

-- BERNAMA